GEORGETOWN - Misteri bau busuk dari sebuah rumah di Lorong Hijau 6, Jalan Sir Ibrahim di Green Lane di sini terjawab apabila mayat seorang wanita warga emas ditemui di dalam rumah berkenaan pagi semalam.
Mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 9.30 pagi selepas jiran mangsa yang sudah tidak tahan lagi dengan bau dari rumah berkenaan menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mahu misteri itu disiasat.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, selepas menerima maklumat kejadian itu, sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.
Menurutnya, selepas pintu rumah berkenaan dipecahkan, anggota keselamatan telah menemui mayat seorang wanita dalam keadaan terlentang di bahagian ruang makan.
Mior Farid berkata, hasil siasatan dan maklumat daripada jiran, si mati yang dikenali sebagai Lim Saw Hoon, 77, tinggal bersendirian.
“Si mati dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada tempoh 48 jam dan dia juga dikatakan kurang bercampur dengan penduduk di perumahan berkenaan.
“Wanita terbabit hanya tinggal bersama lebih 20 ekor kucing peliharaannya sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mior Farid berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut selepas mendapati tiada unsur jenayah yang berlaku dalam kematian wanita itu.