TANGKAK: Kerajaan akan memutuskan pelaksanaan catuan air di negeri terjejas akibat cuaca panas melampau, selepas mesyuarat tergempar yang akan diadakan Rabu ini.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini menyebabkan beberapa empangan utama di beberapa negeri terus menyusut dengan drastik.
"Namun hingga kini kementerian masih belum membuat keputusan muktamad mengenai perkara ini.
"Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Azizan Ahmad dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan beri taklimat mengenai tahap takungan air empangan di setiap negeri Rabu ini.
"Penilaian akan dibuat sama ada langkah catuan air perlu dilakukan di negeri terjejas sebelum pengumuman mengenainya (catuan) dibuat lusa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Muar Pintasan Belemang, dekat sini, hari ini.