top of page
muinsapidin

Demi Anak, Faizal Tahir Tidur Di Padang Pasir

APALAH sangatlah kehadiran artis Malaysia di bumi Jordan untuk membantu pelarian Syria selain sekadar memberi sumbangan yang sangat kecil, atau mungkin tidak menjanjikan apa-apa pun.

Menyedari pelbagai kesulitan yang bakal dihadapi berdasarkan pengalaman misi kemanusiaan kali pertama tahun lalu, penyanyi Faizal Tahir tetap nekad meneruskan gelombang kedua konsert amal One Moment for Them pada 29 April nanti.

Ia akan diadakan di Pusat Konvensyen al-Azhar di Kaherah, Mesir.

Dan ingin menjadikan pengalaman kali ini lebih membekas, Faizal juga berazam untuk merasai sendiri hidup di padang pasir. Dia akan menumpang tidur di bawah khemah pelarian perang di padang pasir Jordan.

“Tahun lalu kami tidur di hotel atas faktor keselamatan," katanya selepas sidang media mengenai konsert berkenaan di Nu Sentral Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Faizal, dia menyedari tidur di bawah khemah bersama pelarian pasti jauh bezanya berbanding hotel, selain pelbagai kekangan dan kemudahan yang amat terbatas.

"Memasak susah, bekalan elektrik tak ada, malah panas.

“Tetapi saya mahu mencabar diri saya walaupun tahu mungkin terpaksa menghadapi ribut pasir,” katanya.

Assalamualaikum bawa perubahan

Jordan adalah antara negara yang menyediakan tempat perlindungan kepada rakyat Syria yang melarikan diri daripada peperangan di negara berkenaan.

Bakal memasuki tahun keempat pada bulan depan, konflik di Syria bermula sejak Mac 2011 apabila ada sekumpulan pemberontak bangkit mahu menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad.

Ia menjadi lebih parah apabila wujud pelbagai kumpulan - termasuk pengganas - terbabit dalam peperangan itu sehingga kini.

Bashar juga masih kekal menjadi presiden negara berkenaan walaupun Barat berpakat menyokong sebahagian daripada kumpulan pemberontak tersebut.

Tidak berniat mahu bersuka-suka memerah keringat tanpa tujuan di bumi asing, Faizal masih seperti dulu, cekal untuk membuat kanak-kanak pelarian - yang tidak pernah meminta peperangan - kembali tersenyum.

Dan ia nampaknya memang menjanjikan harapan.

“Selepas banyak usaha kami lakukan untuk membantu kanak-kanak pelarian Syria, mereka seolah--olah masih ‘keberatan’ untuk mengukir senyuman.

“Tetapi apabila kami dendangkan lagu Assalamualaikum, mereka mulai tersenyum dan rasa terhibur.

"Kemudian barulah saya mengerti bahawa nyanyian memang mampu membawa perubahan besar.

“Lebih penting, anak-anak itu sebenarnya mahu kita datang dan tunjukkan kasih-sayang pada mereka,” katanya.

Beri pendidikan, kemahiran

'Gelombang pertama' konsert kebajikan One Moment for Them diadakan di Dewan Kindi, Universiti Yarmouk, Jordan pada 1 Ogos tahun lalu. Ia berjaya meraih sumbangan kira-kira RM70,000.

Kali ini konsert di Pusat Konvensyen al-Azhar itu diharap mampu menghasilkan kejayaan lebih besar.

Jika mungkin Faizal dan rakan seperjuangannya yang menyertai konsert kali ini mengharapkan kehadiran penonton mencecah 2,000 orang.

Selain Faizal turut menyertai misi berkenaan ialah empat artis lain iaitu Noh Salleh, Mizz Nina, Aizat Hamdan dan Muadz Dzukefly.

Perjuangan Faizal dan kawan-kawannya itu tidak berakhir di Mesir saja kerana selepas konsert hasil kutipan akan dibawa ke kem pelarian terbesar di Zaatari, Jordan.

Pada keesokannya, akan diadakan program bual bicara untuk meraih dana tambahan di Universiti Yarmouk.

Selain bermatlamat mengumpul dana untuk memenuhi keperluan pelarian Syria, program itu turut memberi khidmat pendidikan dan membentuk kemahiran kanak-kanak.

Tanggung trauma perang

Dan memang kanak-kanak lebih diutamakan dalam misi berkenaan kerana mereka adalah individu yang paling sukar ‘bangkit’ dari trauma perang.

Selain itu, dengan pendidikan, kanak-kanak pelarian Syria juga tidak mudah menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Program berkenaan diasaskan Nur Fatiha Shuib, 24, yang menggunakan nama Fatiha Shuib and Friends sebagai nama organisasi.

Usaha berkenaan turut mendapat sokongan daripada Kelab Ikram Mesir, Tangisan Syria di Bumi Jordan, Teach for The Need Syria and Malaysia, dan Persatuan Kebudayaan Arab Malaysia.

Sementara itu mengenai aspek komunikasi, Faizal berkata ia tidak menjadi masalah kerana Fatiha dan Muadz fasih berbahasa Arab.

Bagaimanapun, katanya, bukan mudah untuk mendekati kesemua kanak-kanak yang mengalami trauma peperangan dan menderita tidak cukup makan itu.

“Kanak-kanak di situ terbahagi kepada dua. Satu, yang berlari gembira, memeluk cium kami apabila ternampak orang Malaysia datang.

“Tetapi ada juga yang ketakutan dan melarikan diri. Mereka ni macam kucing - perlu dibelai, diusap - baru nak datang dekat,” katanya.

Kata Faizal, pengalaman dulu membuatkan mereka lebih bersedia. Kali ini mereka menyediakan keperluan yang dirasakan praktikal.

“Dulu datang bawa gula-gula, padahal mereka gosok gigi pun tidak. Rasa bersalah pula.

"Kali ini saya nak bawa beg besar berisi permainan seperti bola atau patung.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat mengisi masa lapang daripada tak buat apa-apa, melangut di padang pasir.

"Saya nak buat mereka tersenyum dan rasa dihargai,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai misi kemanusiaan dan amal itu boleh diperolehi dengan melayari akaun Fatiha Shuib and Friends di Facebook.


21 views0 comments
bottom of page