FILEM sambungan kisah cinta Cinta dan Rangga, Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2), disahkan akan mula ditayangkan serentak di tiga negara pada April ini.
Dalam kemas kini status Dian Sastrowardoyo di Facebooknya pelakon yang membawa watak Cinta itu memberitahu AADC2 akan dapat ditonton mulai 28 April ini.
"Serentak di 3 negara, Indonesia, Malaysia, Brunei, persiapkan dirimu untuk #AADC2 di 28 April 201," katanya.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas penerbit AADC2 menyiarkan klip video rasmi yang mempromosi filem berkenaan.
Klip video sepanjang kira-kira 1.53 minit itu antara lain memaparkan bagaimana empat sekawan - Cinta, Maura, Milly dan Karmen bertemu semula selepas 14 tahun.
Mereka kemudian bersetuju untuk bercuti ke Yogyakarta.
Pada sisi lain penonton dibawa melihat Rangga (Nicolas Saputra) bersama rakannya berbual di New York, AS.
Beberapa babak dipaparkan untuk menunjukkan sama ada Cinta atau Rangga sebenarnya tidak pernah saling melupakan walau jasad kedua-dua mereka terpisah jauh oleh faktor geografi.
Kedua-dua mereka kemudian dilihat bertemu semula di kedai kopi.
"Apa yang saya lakukan ke kamu itu enggak adil," kata Rangga.
"Rangga, yang kamu lakukan pada saya itu, jahat," sahut Cinta.
Di hujungnya Cinta mengucapkan: "Goodbye, Rangga..." dan dibalas Rangga dengan: "Saya cinta kamu."
Selain Dian dan Nicholas, AADC2 turut dibintangi Titi Kamal, Sissy Pricillia, Adinia Wirasti dan Dennis Adiswara.