DURIAN TUNGGAL - Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas motosikal dinaiki bersama rakannya terbabas di dalam kampus berkenaan berhampiran stadium, petang semalam.
Mangsa Mohammad Amirul Hakeem Azit Kesmuar, 20, juga pelajar tahun dua, Diploma Teknologi Maklumat dan Komunikasi maut dilokasi dan tidak sempat pulang ke asramanya di Kolej Kediaman Al-Jazari selepas terlibat kemalangan kira-kira jam 6.30 petang.
Bagaimanapun, rakan sebilik juga sekelasnya, Mohamed Zulhilimi Azaha, 20, hanya mengalami cedera ringan di kaki dan tangan ketika motosikal jenis Yamaha LC ditunggang mereka terbabas di bahu jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kedua-dua pelajar berkenaan difahamkan baru sahaja tamat kelas dan dalam perjalanan balik ke asrama.
"Siasatan awal, kita percaya motosikal dinaiki hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan selepas menuruni jalan curam di kampus berkenaan berhampiran padang stadium.
"Kejadian menyebabkan mangsa Mohammad Amirul Hakim dari Johor Bahru maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sementara rakannya cedera ringan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya bagaimanapun masih menyiasat pemandu sebenar motosikal terbabit berikutan Mohamed Zulhilmi yang berasal dari Felda Jengka, Pahang belum membuat laporan kerana menghadiri urusan pengkebumian mangsa di Johor sebaik sahaja selesai mendapatkan rawatan.
"Kes membabitkan pelajar semester tiga ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.