top of page
muinsapidin

Kehilangan MH370 Beri Kesan Mendalam Pada Hishammuddin

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussin menganggap kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang genap dua tahun hari ini masih memberi kesan yang mendalam buat dirinya.

Katanya, beliau secara peribadi meletakkan kedudukan ahli keluarga penumpang pesawat MH370 berkenaan sebagai satu keutamaan.

“Kalau saya diletakkan di tempat mereka pun, saya tertanya-tanya sama ada pencarian yang dilakukan oleh Australia, China dan Malaysia ini akan dapat hasil yang diharapkan.

“My heart is with you… I’m always with the family…saya berdoa bahawa baki kawasan yang sedang dicari ini akan menghasilkan satu keputusan untuk insiden yang amat tragik ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Peletakan Lunas Kapal LCS1 Projek Littoral Combat Ships di Pengkalan TLDM Lumut pada Selasa.

Sehubungan itu, Hishammuddin meminta agar semua pihak bersabar dan tabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Menurut beliau, kajian yang dilakukan terhadap serpihan pesawat yang dijumpai di Mouzambique sekiranya disahkan milik pesawat MH370, dapat menunjukkan bahawa kawasan pencarian pesawat berkenaan adalah tepat.

Namun begitu, beliau berkata, kawasan yang luas memberikan kesukaran untuk melakukan proses pencarian terhadap pesawat yang hilang kira-kira dua tahun lalu itu.

“Serpihan yang kita jumpai di Reunion Island yang telah pun disahkan sebahagian daripada MH370 dan serpihan-serpihan lain yang dijumpai di Mouzambique sedang dikaji.

“Ini sedikit sebanyak kalau disahkan menunjukkan bahawa lautan yang kita buat carian itu tepat iaitu di Selatan Lautan Hindi,” ujarnya.


31 views0 comments
bottom of page