Ahli-ahli politik perlu menghayati sedalam-dalamnya titah Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mengingatkan mereka supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit sehingga meletihkan rakyat dan kerajaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, titah Tuanku itu memang tepat kerana di dalam pentas politik, mesti ada had batasannya dan jangan berlarutan sehingga boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara.
Menurut beliau, titah Tuanku itu juga tidak menghadkan sesiapa untuk menyuarakan pandangan ataupun politik tetapi mengingatkan bahawa politik yang terus menerus boleh menjejaskan usaha untuk memberi tumpuan kepada ekonomi, keselamatan dan ketahanan negara.
“Saya rasa Tuanku tidak menghadkan sesiapa untuk menyuarakan apa jua pandangan atau berpolitik atau menuding jari atau membawa isu-isu yang perlu kepada ketelusan dan penyelesaian tetapi kalau lebih-lebih sangat sehingga menjejaskan perpaduan, meletihkan rakyat dan jauh sekali kalau ianya menjejaskan ekonomi dan juga keselamatan negara maka titah tuanku itu perlu dihayati sedalam-dalamnya,’’ katanya.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peletakan Lunas Kapal LCS1 Projek Littoral Combat Ships di Dewan Konsolidatasi Kapal Lokasi 77, Pangkalan TLDM, Lumut pada Selasa.
Hadir sama Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Tuanku Abdul Halim di dalam titah baginda, mengingatkan Ahli Parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana perkara itu telah berlarutan sejak sekian lama hingga meletihkan rakyat dan kerajaan.
Tegas baginda, sebagai wakil rakyat, mereka seharusnya memberikan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran bermanfaat demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara berterusan.
Baginda bertitah, dalam negara demokrasi berperlembagaan, masing-masing boleh berlainan pandangan, namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumuskan negara kepada kehancuran.