KUALA LUMPUR - Seorang lelaki digelar 'ustaz kasanova' dihukum penjara 12 bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi atas tuduhan melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang wanita berumur 40 tahun.
Hakim Syarie, Nassir Abdul Aziz membuat keputusan itu terhadap Mohd Razis Ismail, 34.
Nassir dalam keputusannya berkata, hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh bagi menyedarkan, memberi pengajaran dan menginsafkan.
"Kesalahan yang dilakukan adalah berat kerana melibatkan persetubuhan luar nikah dan mendatangkan keaiban terhadap insitusi keustazan sekaligus membawa kerosakan kepada masyarakat," katanya.
Mohd Razis didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap wanita itu sehingga melahirkan anak.
Kesalahan dilakukan di sebuah hotel di sini antara Mac hingga Mei 2012.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Kanan Zainor Rashid Hassin mengikut Seksyen 23(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.