top of page
muinsapidin

Gerakan Jatuhkan PM Bakal Runtuhkan Kerajaan Dan Parti

Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa tokoh UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang sebenarnya bukan mensasarkan individu tetapi mahu menjatuhkan institusi yang menjadi puncak kepada pimpinan negara dan Barisan Nasional (BN).

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, lebih serius lagi apabila institusi yang mahu dijatuhkan itu ditunjangi oleh UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan BN.

``Jika institusi ini digugat, ia akan menggugat institusi keseluruhan peringkat dalam UMNO dan BN di seluruh negara termasuk di peringkat negeri Perak,’’ katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian serentak Persidangan UMNO Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan negeri Perak 2016 di Stadium Indera Mulia di Ipoh pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak dan dua mantan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramly Ngah Talib dan Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Sehubungan dengan itu, Zahid meminta rakan-rakan komponen BN termasuk parti mesra BN untuk teguh bersama, lebih-lebih lagi untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu di dalam ucapannya , Zahid mengingatkan pemimpin dan tokoh UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang supaya tidak mencabar UMNO kerana ia juga bererti mereka mencabar dan menggangu ahli-ahli UMNO.

Katanya, walaupun mempunyai pandangan dan perbezaan pendapat, namun mereka tidak seharusnya membakar kelambu sendiri yang amat jelas boleh menggugat perpaduan dalam kalangan ahli parti.


23 views0 comments
bottom of page