top of page
muinsapidin

Dulu Disanjung, Kini Hidup Merempat

SEREMBAN - Dahulu, dia hidup mewah dan seorang yang dihormati. Dengan jawatan sebagai seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat, dia sering disanjung tinggi serta dikelilingi ramai kenalan.

Namun, keadaannya kini berubah tidak lagi seperti dahulu. Daripada seorang yang berjawatan dan pernah dianugerahkan pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC) pada 2012, kini dia seorang lelaki yang sudah hilang segala-galanya.

Itu nasib menimpa Abd Rahim Zakaria, 65, apabila kini hidup merempat sebatang kara di sebuah surau dekat pangsapuri Templer, di sini, selepas dihalau tuan rumah sewanya, minggu lalu.

Dia yang tinggal bersama keluarga angkatnya kini berserah kepada takdir, apabila segala usaha termasuk aduan dan permohonan kepada pihak berkaitan ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.

Pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Parkinson Malaysia, hidup Abd Rahim yang dahulunya merupakan seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat terkenal di Petaling Jaya, sudah berubah 360 darjah apabila dia disahkan menghidap penyakit parkinson dan kanser darah, sebelum dipulaukan isterinya selepas mereka bercerai.

Abd Rahim yang pernah menerbitkan sebuah buku berkaitan penyakit parkinson berkata, dia tidak pernah menyangka sisa-sisa hidupnya berakhir dalam situasi amat menyedihkan.

“Dalam keadaan saya yang sakit dan tidak sihat ini, terpaksa merempat dan tinggal di surau sebab tidak mempunyai tempat tinggal.

“Masa sihat, saya disanjung dan dihormati. Tetapi bila sakit, semuanya hilang. Rakan-rakan juga hilang kecuali mereka yang senasib dengan saya.

“Mujur ada anak angkat yang sudi membantu menjaga saya dan menguruskan urusan ubat-ubatan setiap hari. Kalau tidak nasib saya pasti akan lebih teruk. Hidup saya bergantung dengan ubat, lebih-lebih lagi selepas melakukan kimoterapi menyebabkan badan saya semakin lemah dan penglihatan mula kabur,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di surau tempat mereka tinggal, semalam.

Penat minta bantuan

Sementara itu, anak angkat Abd Rahim, Mohd Rafi Karim, 30, berkata, semuanya bermula apabila mereka dihalau pemilik rumah yang disewanya di pangsapuri Templer, kira-kira seminggu lalu tanpa alasan kukuh.

“Saya bersama isteri dan anak berusia 3 tahun terpaksa keluar apabila tuan rumah tidak benarkan kami tinggal di situ lagi.

“Sudah seminggu saya cari rumah, tapi sampai sekarang tiada siapa sudi beri bantuan. Penat lelah saya panjat tangga Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan pejabat kerajaan negeri setiap hari untuk dapatkan rumah PPRT masih tak hilang.

“Setiap hari saya keluar cari rumah tapi tak jumpa. Kalau ada pun tuan rumah minta bayaran pendahuluan hampir RM1,000. Mana saya ada duit sebanyak itu. Kerja pun dah tiga hari tak pergi sebab sibuk cari rumah,” katanya.

Mohd Rafi yang bekerja sebagai pencari besi buruk berkata, pendapatannya hanya bergantung kepada hasil yang diperoleh setiap hari, manakala isterinya pula tidak bekerja kerana menjaga anak.

Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan, namun semuanya tidak membuahkan hasil, malah mereka terpaksa menebalkan muka untuk meminta bantuan daripada jiran yang tinggal berhampiran surau ini.

Sementara itu, Pengerusi Surau Pangsapuri Templer, Zulkifli Ismail, 52, berkata, pihaknya hanya dapat membantu keluarga tersebut setakat termampu sahaja.

Menurutnya, keluarga berkenaan tidak tahu ke mana lagi arah hendak di tuju, memandangkan pelbagai aduan dan permohonan dilakukan kepada pihak berkaitan, namun sehingga sekarang masih tiada sebarang tindakan.

“Pihak JKM juga telah maklum mengenai perkara ini, namun menurut pegawai yang datang melawat, mereka juga tidak dapat menempatkan kesemua keluarga ini di JKM berikutan tiada tempat sesuai.

“Saya terpaksa memberi ruang kepada mereka untuk tinggal sementara di surau ini memandangkan Rahim mempunyai masalah kesihatan, selain mereka juga mempunyai seorang kanak-kanak berusia 3 tahun yang perlu dijaga dengan sempurna.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu keluarga ini mendapatkan tempat tinggal. Kasihan melihat anak kecil mereka hanya duduk di surau tanpa televisyen dan ruang rehat yang selesa,” katanya.

Zulkifli berkata, bagi memberi ruang kepada keluarga berkenaan tinggal di surau, dia terpaksa membatalkan kelas mengaji yang diadakan setiap petang. - Sinar


23 views0 comments
bottom of page