top of page
muinsapidin

Tun M, Pembangkang Bergabung Desak Najib Undur

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menandatangani deklarasi bersama dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO). Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.

Deklarasi yang mengandungi 36 perkara itu mempunyai empat permintaan utama: 1. Penyingkiran Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia tanpa menggunakan kekerasan dan undang-undang yang dibenarkan 2. Menyingkirkan semua orang yang bekerjasama dengannya 3. Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian yang dibuat baru-baru ini yang melanggar hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan pilihan dasar 4. Mengembalikan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM , Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Deklarasi itu ditandatangani 58 pemimpin dan bekas pemimpin. Antara bekas pemimpin kanan yang hadir adalah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir, bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik, dan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib. Antara pemimpin pembangkang yang hadir adalah penasihat DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar.Turut kelihatan aktivis politik Hishamuddin Rais dan Ambiga Sreenivasan.


4 views0 comments
bottom of page