KUALA LUMPUR: Waris kepada 12 penumpang Malaysia, Rusia, China dan Ukraine yang menaiki pesawat MH370 hari ini memfailkan saman kecuaian terhadap Malaysia Airlines System Berhad (MAS) bagi menuntut ganti rugi berhubung kehilangan anggota keluarga mereka semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014. Dua waris warga Ukraine, Tetiana Yevhenivna Chustrak dan Natalia Viktorvna Bragina-Deika, yang masing-masing balu kepada Oleg Volodymyrovych Chustrak dan Sergii Grygorovych Deineka memfailkan saman itu melalui Tetuan Ranjit Singh & Yeoh.
Mengikut pernyataan tuntutan, Oleg, 44, dan Sergii, 44, adalah rakan kongsi sebuah syarikat perabot yang menaiki pesawat MH370 sebelum dilaporkan hilang dan dianggap terkorban bersama 239 penumpang dan anak kapal pada hari itu. Tetiana menamakan tiga anaknya sebagai plaintif manakala Natalia menamakan anaknya dan ibu bapa suaminya sebagai plaintif. Mereka berkata walaupun kesemua plaintif menetap di luar Malaysia, mereka mengambil tindakan itu di Malaysia kerana mereka berhak berbuat demikian mengikut Akta Pengangkutan Melalui Udara 1974 (CAA). Mereka mendakwa mengikut peruntukan CAA, MAS bertanggungjawab terhadap mangsa kerana mereka merupakan penumpang di dalam pesawat penerbangan MH370 itu dan juga plaintif bagi kerugian yang dialami mereka. Memandangkan Oleg dan Sergii mempunyai pendapatan tahunan sebanyak US$2 juta (RM8,256,715), plaintif berkenaan menuntut ganti rugi am, ganti rugi kehilangan sokongan kewangan, khas, kesedihan, kos dan relif lain yang wajar oleh mahkamah. Selain itu, seramai 10 waris lagi terdiri daripada lapan warga Malaysia, seorang warga China dan seorang warga Rusia memfailkan saman itu melalui Tetuan Karpal Singh & Co. Mereka ialah Tan Teik Hin, Guan Hua Jin, Anne Catherine Daisy, Wan Hock Khoon, Yap Chee Meng, Muzi Yusop, Suhaili Mustafa, Sim Keng Wei, Ju Kun (China) dan Nikolai Brodskii (Rusia). Menurut peguam Sangeet Kaur Deo, yang mewakili mereka, saman itu berhubung kecuaian, pelanggaran kontrak penerbangan dan pelanggaran tanggungjawab statutori. Mereka menamakan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai defendan. Sehingga kini, sebanyak 16 tuntutan saman dikemukakan oleh waris keluarga mangsa terhadap syarikat penerbangan itu. Berdasarkan Konvensyen Montreal, waris penumpang mempunyai masa dua tahun untuk mengemukakan tindakan undang-undang berhubung tragedi MH370 dan tempoh itu akan berakhir pada 8 Mac ini.Pada 24 Mac 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan rasminya menyatakan penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi. Pada 29 Januari 2015, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengeluarkan kenyataan bahawa kehilangan pesawat itu diisytiharkan sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa. Azharuddin berkata kesemua penumpang dan anak kapal pesawat itu itu dianggap terkorban dalam insiden berkenaan.