Gambar seorang lelaki cedera parah kononnya diserang harimau yang viral di laman sosial sejak pagi Ahad.
KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menafikan berita yang tersebar mengenai seekor harimau yang menyerang seorang lelaki di Dungun.
Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata insiden seperti yang diviralkan di media itu bukan berlaku di negeri seperti yang digembar-gemburkan.
"Tiada kejadian harimau menyerang manusia seperti yang diviralkan itu, kita juga tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu," katanya kepada Bernama.
Video viral berkenaan memuatkan gambar seorang lelaki yang cedera di bahagian belakang badannya selepas diserang binatang buas berkenaan dalam kejadian yang dikatakan berlaku di Bukit Besi, Dungun.
Bagaimapun harimau berkenaan dikatakan berjaya ditembak oleh rakan mangsa.