Kerjasama jitu rakyat Malaysia amat penting bagi membantu kerajaan memastikan ekonomi negara tetap kukuh.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, meskipun negara sedang berhadapan cabaran ekonomi dunia, namun negara terus mencapai pertumbuhan yang tinggi antara tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain di dunia.
Menurut beliau, bagi tahun ini kerajaan telahpun menyediakan bajet, penyesuaian bajet dan sasaran kerajaan antara 4 hingga 4.5 peratus malah Bank Dunia yakin Malaysia akan mencapai 4.4 peratus pada tahun ini.
“Jadi, maknanya sekarang yang pentingnya adalah kita mesti bersama–sama memainkan peranan, tidak kira di mana kita, sama ada dalam kerajaan, swasta, pekerja atau rakyat sama-sama kita menjalankan tugas kita untuk mempastikan ekonomi negara tetap kukuh,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Lawatan Kerja dan Ramah Mesra Warga Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta pada Sabtu.
Husni berkata, rakyat Malaysia perlu terus berusaha bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh.
“Negara kita mahu pendapatan untuk membuat pembangunan dan kepada syarikat-syarikat hendakkan keuntungan syarikat dan kita harapkan ia akan berterusan,’’ ujarnya.
Pada majlis itu, Husni telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi membaik pulih banguunan dan prasarana pusat berkenaan.