top of page
  • muinsapidin

Pemukiman MB Perak Program Luar Biasa – Syamsul

SYAMSUL dan Nizar majlis perasmian penutup Kursus Penyembelihan di Pusat Komuniti Kampung Padang Kunyit, Gerik pada Khamis.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Syamsul Anuar Nasarah menyifatkan program pemukiman sebagai suatu program luar biasa kerana ia membawa seluruh jentera pentadbiran negeri ke peringkat akar umbi.

Menurut beliau, lazimnya, segala urusan pentadbiran berpusat di ibu negeri, tetapi dengan adalah program pemukiman yang diperkenalkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, rakyat di peringkat akar umbi dapat berurusan terus dengan kepimpinan negeri dan jabatan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, program ini perlu diteruskan dengan dilakukan beberapa penambahbaikan yang difikirkan sesuai, hasil postmortem Pemukiman Daerah Hulu Perak.

“Ia sangat baik, suatu pendekatan terbuka yang diamalkan di mana seluruh jentera perkhidmatan tertinggi kerajaan negeri turun padang, turun ke akar umbi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian penutup Kursus Penyembelihan di Pusat Komuniti Kampung Padang Kunyit, Gerik pada Khamis.

Perasmian penutup kursus yang dihadiri oleh 40 belia itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Menurut Syamsul, ketika rakyat boleh mendapat perkhidmatan yang diberikan, dalam masa sama, kerajaan juga boleh mendapatkan maklum balas mengenai pelbagai perkara, termasuk mengenai program pembangunan yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berharap, selepas setiap program pemukiman selesai, perlu ada tindakan susulan terhadap apa juga permasalahan dan isu yang dibangkitkan oleh rakyat bawahan.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya, kajian dibuat terlebih dahulu sebelum program pemukiman di buat di sesuatu daerah bagi mengenal pasti masalah utama yang terdapat di daerah berkenaan.

“Kita kena buat homework apa masalah utama di daerah yang berkenaan, misalnya jika masalah rumah, kita tumpukan lebih kepada usaha agensi-agensi yang terlibat dengan perumahan, macam doktorlah, jika kita tahu penyakit senang kita beri ubat yang sesuai,” ujarnya.

Syamsul juga mencadangkan supaya diberi penekanan atau fokus kepada sektor tertentu yang sesuai di sesuatu daerah, misalnya di Hulu Perak perlu fokus kepada sektor pertanian dan pelancongan. - Suara Perak


13 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page