top of page
  • muinsapidin

Muhyiddin: Perak Serah Pada Pucuk Pimpinan

Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan kedudukan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berpendapat setiap parti mempunyai struktur dan sistemnya tersendiri.

Justeru itu, katanya, terserah kepada parti untuk melakukan tindakan seterusnya kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Pada pandangan saya, setiap parti mempunyai struktur dan sistemnya, oleh yang demikian, kita serahkan kepada kepimpinan dan juga sistem yang ada dalam parti untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Rekreasi Agro-Tourism, Sungai Rui, di Gerik pada Khamis.

Dr Zambry diminta mengulas desakan beberapa pemimpin UMNO supaya tindakan tegas diambil terhadap Muhyiddin kerana tindakannya mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Terdahulu, bercakap dalam sidang media sama, Dr Zambry berkata, Pusat Rekreasi Agro-Tourism, Sungai Rui, bakal menjadi tarikan terbaharu sektor pelancongan di Hulu Perak.

Menurut beliau, konsep agro-tourism yang diperkenalkan di ladang rakyat itu mampu menggamit pelancong dari dalam dan luar negeri.

Antara kemudahan disediakan di pusat rekreasi itu ialah jet ski, kayak, motosikal lasak dan trekking.

Pada majlis itu juga, Dr Zambry menyaksikan penyerahan replika cek sumbangan bernilai RM1 juta dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) kepada Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).

Cek disampaikan oleh Ketua Eksekutif SADC, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman kepada Pengerusi YBU, Datuk Saarani Mohamad.


13 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page