top of page
  • muinsapidin

'ALLAH... Macam Mana Ni,' Kata Ustaz Kazim


KOTA BHARU - Jadual pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias yang sangat padat, selain memaksa beliau menjelajah ke seluruh negara bagi memenuhi jemputan orang ramai dipercayai menjadi punca beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau yang dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim tetap memenuhi setiap undangan diterima semata-mata ingin bertemu orang ramai tanpa pernah mengadu penat. Pegawai Khasnya, Rafi Rahman memberitahu, pendakwah itu memang sudah nampak kurang sihat dan wajahnya pucat, tetapi tetap mahu meneruskan ceramah di pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bachok, kelmarin. Rafi berkata, Mohd Kazim memang begitu komited dengan urusan kerjanya meskipun terpaksa menahan kesakitan sebelum itu. “Pagi ini (semalam), dia sudah boleh bercakap lebih jelas berbanding malam tadi (kelmarin) dan perkara yang diucapkannya, dia terkilan kerana tidak dapat menghabiskan ceramahnya. “Ketika dalam perjalanan ke hospital pun dia kata ‘ALLAH, ALLAH macam mana ni’, tetapi saya pujuk, kesihatan dia lebih penting buat masa ini. Dia dah janji nak datang tetapi hanya dapat berceramah selama tujuh minit. Memang dia terkilan sangat,” katanya. Malam kelmarin, Mohd Kazim dikejarkan ke HUSM selepas difahamkan terkena serangan jantung. Mohd Kazim menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) jam 9.30 malam sebelum mengadu keletihan dan sakit dada. Sementara itu Rafi berkata, keadaan pendakwah itu kini stabil, namun masih menerima rawatan lanjut di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU), Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian di sini.

“Doktor mahu memastikan dia mendapat rehat cukup kerana tubuhnya masih lemah. Rehat itu paling penting, kalau boleh sepanjang hari ini.

“Pihak perubatan juga mengesahkan terdapat otot di bahagian jantung beliau mengalami luka dan masih menjalankan diagnosis bagi mengetahui punca sebenar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HUSM Kubang Kerian, Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed berkata, pihak perubatan masih memantau keadaan penceramah tersohor itu.

“Setakat ini, hanya keluarga dibenarkan melawat dan atas nasihat pakar, beliau perlu berehat,” katanya


14 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page