Allah merakamkan dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” Ayat ini merupakan satu peringatan daripada Allah agar tidak menjerumuskan diri kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada pembaziran.
Cukup jelas bahawa individu yang membazir itu mempunyai sikap yang ditamsilkan dengan amalan syaitan yang sejak azali menjadi musuh nyata bagi manusia. Lantas, apakah kita tidak pernah mengambil iktibar agar tidak digolongkan menjadi “saudara” kepada syaitan? Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang menjadikan umat Islam itu sinonim dengan amalan pembaziran yang berterusan.
Sungguh ironi sekali, apabila dikatakan Ramadan sebagai bulan kita mengekang hawa nafsu dan runtunan selera, tetapi di bulan inilah pembaziran dan sikap berlebih-lebihan seperti menjadi kebiasaan. Sepatutnya Ramadhan mendidik manusia bersikap sederhana, jimat cermat dan tidak melampaui batas tetapi sebaliknya berlaku apabila tiba bulan yang penuh keberkatan ini. Semua orang akan berbelanja besar untuk aneka juadah hidangan sebulan berpuasa dan persiapan menyambut raya yang menuntut perbelanjaan berganda daripada bulan-bulan lain.
Tidak hanya berkisar tentang makanan atau perbelanjaan, malah pembaziran juga meliputi banyak perkara dalam kehidupan muslim. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah telah menggariskan 9 jenis pembaziran yang seringkali dilakukan oleh manusia antaranya ialah pembaziran masa, amalan , kekayaan, hati dan tubuh badan.
Amat rugi sekiranya keberkatan di bulan Ramadan ini tidak direbut untuk menggandakan amalan kebaikan. Kadangkala masa berlalu begitu sahaja tanpa disedari Ramadan pergi tanpa diisi dengan amalan yang membawa kepada taqarrub kepada Allah. Alangkah ruginya jika masa tidak dapat diurus dengan baik.
Sekiranya siang hari berpuasa hanyalah beroleh lapar dan dahaga, pada malam hari pula dilanda kekenyangan yang melampaui batas. Apakah makna ibadah dalam ruang masa tersebut, tanpa sedikit pun keinginan dan niat untuk beribadah kepada Allah?
Kadangkala ramai yang menghabiskan masa dengan berehat dan tidur dengan alasan kepenatan berpuasa yang menyebabkan tidak produktif di tempat kerja mahu pun di rumah. Puasa tidak akan menjadikan seseorang pasif dan tidak berdaya maju. Namun, masyarakat hari ini mempunyai persepsi bahawa puasa akan menyebabkan seseorang tidak mempunyai tenaga untuk aktif sepanjang hari.
Meletakkan mentaliti sedemikian akan menjadi halangan yang mempengaruhi aktiviti seharian seseorang. Umat Islam perlu memanfaatkan masa lapang di bulan Ramadhan dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membuat amal kebajikan, membaca al-Quran, menggandakan amalan sunat dan bermotivasi dalam melaksanakan kerja seharian.
Justeru, masa tidak akan terbazir begitu sahaja dengan perkara yang sia-sia. Malah kita perlu mengelak daripada menjerumuskan diri melakukan perkara-perkara mazmumah dan mendatangkan dosa. Tabiat yang paling mudah untuk mendapat dosa percuma apabila kita terdedah dengan kesibukan melayani media sosial atau melayari internet yang tidak membawa manfaat.
Barangkali ada umpatan dan kejian berlaku tanpa disedari serta kerugian masa dengan perkara sia-sia. Ini akan mencacatkan lagi pahala berpuasa.
Amalan baik juga akan dibazirkan jika tiada niat yang ikhlas. Ramadan mendidik jiwa muslim supaya bersabar dan ikhlas dalam melaksanakan amar ma’ruf. Sekiranya, seseorang berpeluang melakukan amalan kebajikan tetapi tidak disertakan keikhlasan, hanya menjadikan ia sebagai sia-sia.
Bersedekah dalam bulan Ramadan dan membantu orang yang memerlukan amat digalakkan dalam bulan puasa. Tetapi sekiranya amalan dan bantuan tersebut hanya untuk didendang dan dipuji, serta menimbulkan kebongkakan dan riya’ di hati, ia akan membawa kepada hilangnya keberkatan dan kelebihan berganda yang telah dijanjikan oleh Allah. Pembaziran amalan ini juga perlu dielakkan agar pahala puasa kita terpelihara.
Tubuh badan juga merupakan satu bentuk pembaziran yang perlu dielakkan. Bentuk pembaziran ini seringkali tidak disedari oleh ramai orang kerana merasakan ketaatan kepada Allah sudah dilaksanakan dengan cara berpuasa di siang hari pada bulan Ramadan.
Namun begitu, dalam konteks yang lebih luas, bentuk pembaziran tubuh badan menurut Ibnu Qayyim al Jauziyyah ialah sekiranya tidak memanfaatkan tubuh badan untuk beribadah kepada Allah. Tubuh badan tidak dijaga dengan baik untuk melaksanakan ibadah khusus atau ibadah umum bagi meraih pahala. Malah ada yang tidak menjaga kesihatan tubuh badan dengan makan secara berlebihan dan merokok.
Tabiat merokok yang mendatangkan mudarat pada tubuh badan hanya berjaya dikekang pada waktu siang semasa berpuasa tetapi kembali kepada tabiat asal selepas waktu berbuka. Dalam hal ini bukan sekadar pembaziran dengan merosakkan kesihatan tubuh badan tetapi juga melibatkan pembaziran wang ringgit yang dibelanjakan untuk perkara yang tidak berfaedah. Seharusnya, Ramadan mampu membentuk jiwa kental seseorang melawan nafsu untuk mengurangkan tabiat merokok dan seterusnya berhenti terus daripada tabiat membazir tersebut.
Fenomena pembaziran yang paling biasa dilihat berlaku di bulan Ramadan adalah makanan. Umat Islam tidak ambil peduli sekiranya memperuntukkan perbelanjaan yang tinggi untuk membeli atau menyedia makanan. Perasaan lapar pada saat berpuasa bukan lagi di perut tetapi juga di mata. Semua hidangan makanan dirasakan mampu untuk dimakan.
Tiada lagi istilah jimat-cermat apabila berhadapan dengan makanan ketika berpuasa. Sikap membazir ini seperti sudah menjadi budaya masyarakat kita apabila statistik menunjukkan setiap tahun sebanyak 270,000 tan makanan dibuang pada bulan Ramadan. Makanan tersebut dikatakan mampu dihidangkan kepada 180 juta orang dimana berganda-ganda jumlahnya berbanding populasi masyarakat di negara kita.
Jika dilihat dengan angka ini, seolah-olah umat Islam hilang kasih sayang yang sebenar sesama insan. Di saat terdapat insan lain yang masih tidak mampu untuk bermewah dengan makanan atau tiada makanan untuk dimakan kerana kesempitan hidup, di satu pihak lain sanggup membuangnya tanpa disentuh sedikit pun.
Ia menunjukkan satu tanda isyarat yang salah kepada kita semua kerana golongan yang tidak berkemampuan itu masih wujud di negara kita. Tetapi ada di antara kita berterusan dengan sikap membazir tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Hotel-hotel dan restoran menawarkan menu bufet yang pelbagai citarasa dengan harga yang berbeza. Bagi yang berkemampuan, tidak salah untuk mencuba alternatif berbuka puasa tersebut. Namun, haruslah beringat dan berwaspada dengan kecenderungan nafsu kita yang akan membawa kepada pembaziran.
Sudah pasti dengan beraneka jenis makanan, kita cenderung untuk makan tanpa had dan mengambil lebih banyak makanan sesuai dengan kadar yang telah dibayar. Hal sebegini sukar untuk dielak memandangkan waktu berbuka puasa, ramai yang gagal menundukkan selera apabila melihat hidangan makanan yang pelbagai. Sudah pasti, ada makanan yang terbuang dan tidak mampu dimakan.
Isu ini perlu dilihat dalam dua perspektif iaitu pembaziran makanan yang tidak habis dimakan dan daripada sudut pembaziran dalam ertikata perlu membayar harga yang tinggi untuk nilaian makanan tertentu yang sudah pasti tidak selari dengan keperluan kuantiti perut kita.
Dalam tafsir Fi Zilalil Quran, Sayyid Qutb menerangkan bahawa Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Justeru, boros dan berlebih-lebihan dalam berbelanja juga dianggap sebagai membazir.
Pembaziran makanan juga tidak hanya berlaku di hotel atau restoran yang menyediakan bufet tetapi boleh juga berlaku di rumah atau di bazar-bazar ramadan. Persepsi dan sikap yang akan menentukan kewajaran tindakan seseorang untuk membazir atau pun sebaliknya.
Justeru, Ramadan ini harus direbut untuk mendidik jiwa agar dijauhkan daripada segala bentuk pembaziran yang merugikan. Pembaziran akan mencacatkan keberkatan bulan Ramadan. Tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, duit, tenaga, amalan, atau pun kesihatan tubuh badan. Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperolehi ganjaran pahala.
Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran dan melampaui batas merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam. Maka, Ramadhan merupakan saat yang terbaik untuk menanam tekad membasmi pembaziran bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya istiqamah untuk bulan-bulan yang akan datang.
- Norkumala binti Awang (IKIM)